Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

Oleh : Ibnu Qalam

Banyak isu yang melanda negara ketika ini. Kerana terlalu banyak itulah menjadikan minda terlalu malas hendak mengikuti dan mengulas tentangnya. Letih melihatkan bagaimana porak perandanya pentadbiran negara ketika ini. Lebih letih lagi apabila melihatkan bagaimana merundumnya jati diri rakyat negara ini khususnya masyarakat Melayu. Benar kata orang terdahulu yang telah merintis perjuangan ini sebelum kita, perjuangan ini benar-benar menuntut stamina yang tinggi. Dan apabila berkata soal stamina jangan pula kita rujukkan kepada stamina fizikal sahaja kerana ada aspek stamina lain yang lebih penting untuk dijaga rapi iaitu stamina minda kita. Berdepan dengan segala kebobrokkan sistem sebenarnya memerlukan kita untuk sentiasa siap siaga terhadap perubahan permainannya. Kalau minda itu seumpama keris, perlu sentiasalah diasap dan dimandi limaukan supaya sentiasa kekal keramatnya. Jangan bersalah sangka ya.. itu cuma perumpamaan. Kerana bagi kita yang berada didalam gerakan Islam sewajarnyalah kita menuruti firman Allah didalam kitab al-Quran. Mungkin antara ayatNYA yang perlu kita renung dan hayati ialah ayat yang pertama sekali diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul junjungan kita, Nabi Muhamad SAW.

Ayat yang mengesa kepada kita untuk menjadikan tabiat membaca sebagai satu tradisi keilmuan. Saya amat yakin inilah asap dan limau yang diperlukan oleh minda untuk kekal kredibal. Dengan menjadikan membaca sebagai satu tabiat kita sebenarnya telah melaksanakan satu lagi arahan Allah SWT yang mewajibkan kepada kita untuk sentiasa belajar. Proses membaca inilah yang mendorong kepada proses pembelajaran didalam diri manusia. Tanpa membaca mana mungkin kita dapat merungkai setiap inci ilmu yang berada didalam kitab suci al-Quran. Dengan segala ilmu itulah dapat kita bergerak dan berfungsi dimuka bumi ini sebagaimana yang telah ditetapkan Allah SWT untuk menegakkan yang maaruf dan menyanggah yang mungkar. Inilah hikmahnya ayat dari Surah al-Alaq ini, tentang penekanan Allah SWT terhadap proses perkembangan ilmu yang bermula dengan membaca. Jika Allah SWT menegaskan kepada Rasulullah SAW untuk membaca, untuk belajar membaca maka jangan pula kita tidak beriringan dengannya.

Seperkara lagi dalam membicarakan tentang persoalan membaca dan keilmuan ini, kita perlu melihat perkembangan generasi pertama Islam yang telah dibentuk dan ditarbiyyah oleh Rasulullah SAW sendiri. Generasi ini adalah generasi terhebat yang perlu dijadikan contoh didalam segenap segi. AsSyahid Syed Qutb didalam buku Petunjuk Sepanjang Jalan menggariskan bahawa yang membezakan kualiti antara generasi Islam zaman tersebut dengan genarasi Islam hari ini bukanlah kerana dizaman tersebut adanya Rasulullah SAW dan dizaman ini tiada Rasulullah SAW, bukan kerana itu tetapi kerana tradisi keilmuan yang dipraktiskan dizaman itu yang berlandaskan kepada prinsip belajar untuk mengamalkannya. Kerana tradisi inilah generasi Islam tersebut pernah meletakkan dunia dibawah lembayung rahmat Islam. Tradisi keilmuan itu bukan meletakkan proses pembelajaran itu pada ukuran untuk memperolehi segulung ijazah yang akan dijadikan tiket untuk meraikan pekerjaan yang bergaji besar. Tetapi tradisi keilmuan dan proses pembelajaran itu bergerak atas prinsip belajar untuk mempraktiskan arahan Allah SWT bagi melengkap amanah meneggakkan yang maaruf dan menghancurkan yang mungkar.

Insyallah kita bisa mempraktikkan ini. Kita bisa untuk mengejar dan beroleh sebagaimana yang diperolehi oleh generasi awal Islam tersebut dengan memulakan proses penjernihan kembali niat dan azam kita. Hari ini umat Islam terlalu jauh dengan Islam. Malah didalam banyak lapangan kehidupan Islam mula dilihat sebagai menyusahkan. Maka disinilah tugas kita sebenarnya, untuk membangkitkan kembali jiwa-jiwa Islam ini dengan memberi nur iman melalui proses pembelajaran dan tarbiyyah yang tersusun. Kita perlu berfungsi sebagai dai’e yang umpamanya seperti setitis air di kegersangan padang pasir. Kita juga perlu berfungsi sebagai dai’e yang umpamanya seperti pelampung ditengah lautan dalam. Mari semua kita mulakannya !

 
posted by dppk sekijang at 10:34 PM |


0 Comments: